Thursday 11 August 2011

Kelebihan-Kelebihan Solat Sunat Tarawih Dalam Bulan Ramadhan.

Malam Pertama:
Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.

Malam Ke 2:
Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang tarawih serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).

Malam Ke 3:
Berseru Malaikat di bawah ‘Arasy’ supaya kami meneruskan sembahyang tarawih terus-menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

Malam Ke 4:
Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Malam Ke 5:
Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam Ke 6:
Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Ma’mur (70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

Malam Ke 7:
Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi ‘Alaihissalam menentang musuh ketatnya Fi’raun dan Hamman.

Malam Ke 8:
Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihissalam.

Malam Ke 9:
Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhamad S.A.W.

Malam Ke 10:
Allah Subhanahuwata’ala mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan akhirat.

Malam Ke 11:
Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baharu dilahirkan.

Malam Ke 12:
Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).

Malam Ke 13:
Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.

Malam Ke 14:
Datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang tarawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.

Malam Ke 15:
Semua Malaikat yang menanggung ‘Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakan supaya Allah mengampunkan.

Malam Ke 16:
Allahsubhanahuwata’ala tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Malam Ke 17:
Allah kurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

Malam Ke 18:
Seru Malaikat: Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup atau mati).

Malam Ke 19:
Allah Subhanahuwataala tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

Malam Ke 20:
Allah kurniakan kepadanya pahala sekalian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

Malam Ke 21:
Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada nur.

Malam Ke 22:
Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huru-hara di Padang Mahsyar).

Malam Ke 23:
Allah SWT binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada nur.

Malam Ke 24:
Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang bertarawih malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).

Malam Ke 25:
Allah Taala angkatkan daripadanya siksa kubur.

Malam Ke 26:
Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.

Malam Ke 27:
Allah kurniakan orang bertarawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratolmustaqim seperti kilat menyambar.

Malam Ke 28:
Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 darjat di akhirat.

Malam Ke 29:
Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.

Malam Ke 30:
Allah Subhanahuwataala beri penghormatan kepada orang bertarawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman: “Hai hambaKu: Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama ‘Al-Kauthar”.”

Monday 27 June 2011

kucing kesayangan keluargaku....

Assalamualaikum…

Alhamdulillah…kerana cuti semester dah habis…maka semester baru akan bermula… sepanjang cuti semester… sempatlah juga saya pulang ke rumah untuk menjenguk rumah yang dah lama ditinggalkan… x lupa juga untuk menziarah kubur ibubapa… walaupun pemergian mereka di saat saya masih lagi belajar… tetapi saya redha dengan pemergian mereka… kerana saya tahu… ALLAH lebih menyayangi mereka… secara tidak langsung mengajar  saya untuk hidup berdikari dan berusaha untuk mendapatkan sesuatu…

Sepanjang saya di rumah… saya hanya banyak menghabiskan masa dengan melayan telatah dan karenah kucing-kucing yang saya pelihara semenjak dari lahir lagi… saya gembira dapat bermain dengan kucing-kucing kerana agak lama saya tidak pulang ke rumah… walaupun begitu… kucing-kucing masih lagi mengenali saya… Kucing-kucing inilah yang menjadi peneman hidup kepada arwah ibu setelah pemergian arwah ayah… arwah ibu memang sangat menyayangi kucing sampaikan senakal mana pun kucing-kucing ini...arwah ibu tidak pernah memukul kucing…

Ibu & 2 anak jantannya...

Walaupun kucing-kucing ini merupakan haiwan…tetapi mereka juga makhluk ALLAH yang mempunyai perasaan kasih sayang kepada manusia yang baik kepada mereka… ketika arwah ibu meninggal… kucing-kucing ini baring di sisi mayat rawah ibu… kucing-kucing ini x mahu berganjak walaupun dah beberapa kali diletakkan di tempat lain… kucing-kucing ini tetap balik baring di sisi mayat arwah ibu… begitulah kasihnya haiwan kepada manusia yang sayang kepada mereka…

inilah ibu kucing 'Kakak' sangatlah pendiam...nak dengar suara dia pn susah...


Lupa pula nak bagitau nama kucing-kucing yang comel ni… ibu kucing kami panggil Kakak manakala 2 ekor anak jantannya kami panggil Ning & Tam… inilah kucing yang masih tinggal dengan kami… kami mula membela kucing bermula daripada nenek kepada Kakak… kiranya Kakak  merupakan generasi ke-3 dan Ning & Tam generasi ke-4… Kakak ni cucu dan Ning & Tam cicit kepada kucing yang mula2 kami pelihara… kucing yang paling lama bersama kami namanya Utih…merupakan ibu kepada Kakak…kami pelihara daripada lahir hinggalah mati akibat dah tua… umur Utih ketika mati dah 10 tahun… kami sekeluarga menganggap kucing-kucing ni sebahagian daripada ahli keluarga…

Ning (2 thn) yg paling manja sekali...skrg ni dh pndai gaduh ngn kucing jantan lain...tp kuat tido....
Adik Tam (2thn)...penakut dgn org yg x dikenali...kalu ade org dtg mesti sembunyi...tp manja ngn ibu die...paling bising...
Manjanya kucing ni…sampaikan tido pun dengan kami… kalau kami berjalan-jalan kat luar…kucing-kucing ni sibuk nak ikut…

sayangnya adik kt abg....tlg jilatkan bulu....
 Sayangilah haiwan...terutama yang kita pelihara....pahala sgt besar sekiranya kita menyayangi haiwan...

Thursday 23 June 2011

Formula Berdoa Memohon Jodoh Daripada Al-Quran

Bukan setakat memohon untuk dikurniakan jodoh, peranan doa amat luas dan penting dalam menentukan hala tuju kehidupan seseorang. Baik kehidupan di dunia mahu pun kehidupan di akhirat. Dengan merendah diri dan berdoa seseorang akan dapat mengagungkan kekuasaan tuhan dan menyedarai kelemahan diri sendiri. Seterusnya meletakkan satu pengharapan kepada tuhan dalam mencapai cita-cita.

Di dalam surah Al-Baqarah, ayat 186, Allah telah berfirman, “..Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. ”

Firman Allah lagi di dalam surah Ghafir ayat 55, “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Kedua-dua ayat ini menunjukkan Allah menyuruh semua umat Islam berdoa kepadaNya, seterusnya beriman dengan mematuhi perintahNya. Mereka yang tidak memohon sesuatu daripada Allah dikategorikan sebagai orang yang sombong dan takbur.

Menurut An-Nu’man Bin Basyir, Rasulullah pernah berkata , “Doa itu termasuk ibadah,” lalu beliau membaca ayat 55 dari surah Ghafir seperti di atas. Di dalam riwayat lain, Rasulullah telah bersabda, “Tiada sesuatu pun yang lebih mulia di sisi Allah Azza wa Jalla selain daripada doa.”

Di dalam konteks mencari pasangan hidup, amalan berdoa perlu dimulakan sejak awal. Setelah berniat dengan betul, doa diteruskan secara konsisten sepanjang masa. Mudah-mudahan Allah mempertemukan dengan pasangan hidup yang dapat menjamin kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Berikut merupakan antara 9 petua dari Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa yang mustajab yang sempat saya sertakan :

1. Anas Bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Doa di antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.”

2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: Allah akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan dariKu maka Aku akan mengampuninya.

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah bersabda, “Tiga orang yang tidak ditolak doanya, iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.”

4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Aku dilarang membaca Al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat di antara hamba dan tuhanNya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.”

5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah, kerana sesungguhnya binatang tersebut melihat malaikat. Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah dari godaan syaitan, kerana binatang tersebut melihat syaitan.”

6. Ubadah Bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan,
 Kemudian mengatakan  
atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. Apabila beliau berwudhu (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah.”

7. Ata Bin Abi Rabah berkata “Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda, sesiapa yang membaca surah Yassin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.”

8. Hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.”

9. Hadith dari Abu Hurairah, “Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda, pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bilamana seorang muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.”

Thursday 2 June 2011

Amalan-amalan yang digalakkan dilakukan dalam bulan Rejab...

Diantara amalan-amalan yang sangat baik dianjurkan ketika berada dalam bulan Rejab:
- Banyakkan puasa sunat.jika mampu,
- Perbanyakkan Solat-solat sunat yang mengiringi solat fardhu (rawatib).
- Solat sunat Dhuha, sunat tasbih, sunat tahajjud, sunat hajat, sunat witir dan sebagainya, buat menampung amalan fardhu
- Banyakkan masa dengan membaca Al-Quran.
- Banyakkan berzikir dengan bertasbih bertahmid, bertakbir dan bertahlil beberapa ratus kali. Jika tak mampu lakukan beberapa kali termampu pada sebilangan waktu. Waktu terbaik ketika hampir subuh selepas subuh dan ketika hampir masuk waktu berbuka puasa.
- Berselawat keatas Nabi S.A.W. sebanyaknya
- Beristighfarlah mohon keampunan diatas dosa-dosa yang lalu. Paling utama bacalah Istighfar Rejab setiap hari (sila rujuk dalam kitab-kitab doa atau melalui tuan-tuan guru mengenainya)
- Berdoalah memohon sebanyak-banyaknya dalam solat, didalam sujud dan selepas solat beberapa lama tanpa berasa jemu meminta.

Rasulullah saw. Bersabda , “ Barangsiapa berpuasa pada hari khamis , jumaat dan sabtu pada bulan haram (Rejab) maka Allah mencatat baginya ibadah dua tahun.

Rasulullah saw bersabda ,”Barangsiapa berpuasa satu hari berpuasa pada bulan rejab, maka ia seperti berpuasa (selama) satu tahun.

Abu Qilabah r.u berkata , ‘Di dalam syurga terdapat sebuah istana yang disediakan khusus bagi orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab.”

Rasulullah saw. Bersabda “ Di dalam bulan Rejab ada satu hari dan satu malam yang mana barangsiapa berpuasa pada hari itu dan sholat malam pada malam itu, maka ia bagaikan berpuasa seratus tahun dan sholat malam seratus tahun lamanya. Hari itu ialah 3 hari terakhir.

FADHILAT BULAN REJAB

 Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dalam kalendar umat Islam....Bulan Rejab dianggap istimewa kerana berlaku peristiwa-peristiwa bersejarah seperti Nabi Muhammad S.A.W dikatakan melakukan Isra' dan Mi'raj pada bulan ini. Bulan ini juga merupakan salah satu anugerah Allah S.W.T kepada hambanya yang rajin beribadat dengan beberapa fadhilat yang tidak terdapat dalam bulan-bulan yang lain.

Antara fadhilatnya:

1. Sabda Nabi S.A.W : Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah memuliakan dengan 1000 kemuliaan di hari Qiamat.

2. Sabda Nabi S.A.W. : Bulan Rejab bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku dan Bulan Ramadhan bulan ummatku.

3. Kemuliaan Rejab dengan malam Israk Mikrajnya, Syaaban dengan malam Nisfunya, dan Ramadhan dengan Lailatul Qodarnya.

4. Malam awal Rejab mustajab doanya (kitab Raudhoh Imam Nawawi).

5. Puasa sehari pada bulan Rejab dijadikan Allah baginya dua sayap, Akan membawanya terbang di atas Sirotmustaqim di hari Qiamat. (Al-Hadis).

6. Puasa sehari dalam bulan Rejab seperti puasa 40 tahun dan diberi minum air dari syurga. (Al-Hadis).

7. Puasa Sehari pada bulan Rejab mendapat syurga yang tertinggi (Firdaus). Puasa dua hari dilipat gandakan pahalanya. (Al-Hadis).

8. Puasa tiga hari pada Bulan Rejab dijadikan parit yang panjang yang menghalangkan dia ke neraka yang panjangnya setahun perjalanan. (Al-Hadis).

9. Puasa empat hari pada Bulan Rejab diafiatkan daripada bala dan penyakit yang besar-besar dan daripada fitnah Dajjal di hari Qiamat. (Al-Hadis).

10. Puasa lima hari pada bulan Rejab, Allah SWT akan amankannya daripada azab kubur. (Al-Hadis)

11. Puasa enam hari pada bulan Rejab, ia keluar daripada kubur dengan bercahaya mukanya. (Al-Hadis)

12. Puasa tujuh hari pada bulan Rejab, ditutup daripadanya tujuh pintu neraka. (Al-Hadis)

13. Puasa lapan hari pada Bulan Rejab, dibuka baginya lapan pintu Syurga. (Al-Hadis)

14. Puasa sembilan hari pada Bulan Rejab, keluar daripada kuburnya lalu menyeru lailahaillallah dan tidak ditolak dia masuk ke dalam syurga. (Al-Hadis)

15. Puasa sepuluh hari pada Bulan Rejab, Allah jadikan baginya hamparan perhentian di Titi Sirotolmustaqim pada tiap-tiap satu batu. (Al-Hadis)

16. Puasa 16 hari pada Bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah didalam syurga, dan orang yang pertama menziarahi Allah di dalam Syurga. (Al-Hadis)

17. Puasa 19 hari pada Bulan Rejab, dibina baginya sebuah mahligai dihadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim A.S. dan Nabi Allah Adam A.S. (Al-Hadis)

18. Puasa 20 hari pada Bulan Rejab, diampunkan Allah segala dosanya yang telah lalu, Maka mulailah beramal apa-apa yang tinggal daripada umurnya. (Pembaharuan umur bermaksud terhapus dosa-dosanya). (Al-Hadis)

19. Berkata Saidina Ali R.U. :
- Puasa Rejab 13 hari seperti puasa 3000 tahun.
- Puasa Rejab 14 hari seperti puasa 10,000 tahun.
- Puasa Rejab 15 hari seperti puasa 100,000 tahun.

20. Kelebihan Bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Al-Quran atas segala Qalam. (Al-Hadis)

21. Puasa pada awal Rejab, pertengahan dan akhirnya, seperti puasa sebulan pahalanya. (Al-Hadis).


22. Puasa sehari pada bulan Rejab seperti mengerjakan Ibadah seumur hidupnya.
Maka akan berseru dari langit :
Gembiralah kamu dengan kemuliaan yang besar dan diminumkan dia ketika hendak mati. Mati ia dengan puasa, masuk kubur ia dengan puasa, keluar kubur dengan puasa, dan masuk syurga dengan puasa dan masuklah syurga dengan sepuas-puasnya. ia terlepas dari azab kubur yakni yang berpuasa disiang hari dan beribadah pada malamnya. (Al-Hadis)

23. Bulan Rejab (Bulan Allah) diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah S.W.T.
Puasa bulan Rejab wajib baginya :
- Diampunkan dosanya yang lalu
- Dipelihara Allah umurnya yang tinggal.
- Terlepas dari dahaga di hari Qiamat.

24. Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah sedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti. (Al-Hadis).

25. Sesiapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu roma pada jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dan dihapuskan seribu kejahatan.
(Al-Hadis)

26. Tiap sehari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan Rejab seperti ibadah seribu Haji dan Umrah. Dibina seribu mahligai, seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali ganda, kerana keistimewaan bulan Rejab yakni bulan Allah. (Al-Hadis)

27. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka, kerana kemuliaan bulan Rejab, bulan Allah. (Al-Hadis).

28. Barangsiapa meminta ampun (beristighfar) kepada Allah pada pagi dan petang hari 70 kali atau 100 kali, pada bulan Rejab diharamkan tubuh atau jasadnya daripada api neraka. (Al-Hadis).

29. Puasa pada hari 27 Rejab seperti berpuasa 60 bulan pahalanya.Jika disertai dengan sedekah seperti puasa selama 1000 tahun, kerana kebesaran hari Israk mikraj. (Al-Hadis).

30. Sesiapa yang melapangkan kekeruhan, kesusahan dan masaalah orang mukmin pada bulan Rejab, dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam syurga firdaus. (Al-Hadis).

31. Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada bulan Rejab dan beribadah pada malamnya (berjaga), seperti dia berpuasa tiga ribu tahun lamanya – diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa daripada jasadnya, 70 hajatnya di dalam kubur, 70 hajat ketika terangkatnya suhuf (ketika Quran dinaikkan kelangit), 70 hajat ketika ditimbang amalannya di Mizan (timbangan amal), 70 hajat ketika berlalu di titi Sirotol Mustaqim. (Al-Hadis).

32. Sabda Nabi S.A.W.: Ketika malam aku dimikrajkan aku melihat sungai yang airnya lebih manis daripada madu dan lebih dingin daripada salji , lebih wangi daripada kasturi. Maka aku bertanya : “ Wahai Jibrail, untuk siapa ini semua ?” Jibrail menjawab : “Untuk mereka yang membaca selawat untukmu pada bulan Rejab,” Nabi bersabda : “ Taubatlah kamu sekelian kepada Allah dan mohonlah keampunan dari dosa-dosamu dan jauhilah daripada perbuatan maksiat pada bulan haram yaitu Rejab,”
33. Beramal pada bulan Rejab digandakan 70 pahala, Syaaban diganda 700 pahala dan Romadhon diganda 1000 pahala. (Al-Hadis).

34. Di dalam syurga terdapat suatu sungai yang bernama ‘Rajab’ ia lebih putih daripada susu, dan rasanya lebih manis daripada madu. Maka barang siapa yang berpuasa (sebahagian )* daripada Bulan Rejab, Allah akan memberi minum dengan air sungai tersebut. (Al-Hadis).

35. Setiap orang akan berasa lapar pada hari Qiamat, kecuali para-para Nabi dan keluarganya dan pada mereka-mereka yang berpuasa pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan, Maka sesungguhnya mereka selalu merasa kenyang, tidak lapar dan tidak pula haus.

36. Apabila engkau mengkehendaki suatu ketenangan waktu mati, dan meninggalkan dunia ini beserta Iman dan selamat dari godaan syaitan, maka hormatilah bulan –bulan ini semua (Rejab,Syakban dan Ramadhan) dengan memperbanyakkan puasa dan menyesali terhadap dosa-dosa lalu, ingatlah kepada pencipta alam ini, maka kamu akan masuk syurga dengan selamat. (Hadis)

37. Dari Anas bin Malik r.u. berkata: " Aku bertemu dengan Muadz bin Jabbar r.a. Maka aku bertanya kepadanya : Dari mana engkau datang wahai Muadz? Ia menjawab "Aku dari tempat Rasulullah s.a.w. "Apa yang engkau dapat daripadanya?" Tanya Anas. "Aku mendengar bahawa barangsiapa yang mengucapkan LAILAHAILLALLAH, Maka ia akan meninggalkan dunia ini dengan Ikhlas masuklah ia kedalam syurga, Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Rejab, kerana mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. maka masuk ia akan syurga". Maka aku terus ke rumah Rasulullah s.a.w. dan bertanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Muadz bercerita begini-begini kepadaku". Maka Rasulullah s.a.w. menjawab benar apa yang dikatakan oleh Muadz.
(Zuhratur Riyad)


* Adapun puasa satu bulan penuh pada bulan Rejab adalah tidak sah, makruh kerana tidak ada ketentuan dari Nabi S.A.W. dan tidak pula dari para Sahabat R.hum. Imam Ahmad, Umar bin Abbas dan Mawardi pada kitab Iqna' bahawa puasa satu bulan penuh pada bulan Rejab adalah Makruh kecuali berselang satu atau dua hari maka hukumnya menjadi sunnah. (Durratun Nasihin)

Tuesday 31 May 2011

Batuan...

Jenis & Proses Pembentukan Batuan
1)  1) Batu Igneus
-          Dibahagi kepada 2 jenis iaitu rejahan & terobosan.
-          Batu Igneus Rejahan terbentuk di dalam bumi atau di rekahan-rekahan kerak bumi.
-          Batu Igneus Terobosan terbentuk di permukaan bumi akibat penyejukan magma.
-          Contoh bagi rejahan ialah Granit & Gabro dimana teksturnya kasar.
-          Contoh bagi terobosan ialah Basalt, Obsidian & Pumis dimana teksturnya halus atau 
           berkaca.
Basalt

Granit
2) 2) Batu Enapan
-          Dibahagi kepada 3 jenis iaitu Klastik,Kimia & Organik.
-          Batuan enapan terbentuk melalui proses pemadatan dan penyimenan mineral khusunya
           mineral berfosil.
-          Batu Enapan berbentuk berlapis-lapis.
-          Contoh batuan klastik ialah konglemerat, batu pasir & syal.
-          Contoh batuan kimia ialah batu garam & batu gypsum.
-          Contoh batuan organic ialah batu kapur & batu arang.
Arang Batu

Dolomite
3) 3) Batu Metamorfosis
-          Batuan metamorfosis terbentuk daripada batuan sedimen dan igneous yang dikenakan tekanan dan haba yang begitu tinggi sehingga batuan tersebut berubah.
-          Proses metamorfosis tidak melibatkan proses mencairkan batuan, sebaliknya mengubah komposisinya menjadi lebih padat. Oleh itu, mineral baru dicipta samaada oleh penyusunan semula sebahagian mineral atau oleh tindakbalas dengan cairan yang masuk ke batuan.
-          Batu metamorphosis terbahagi kepada 2 iaitu berjalur & tidak berjalur.
-          Contoh bagi batu metamorphosis ialah syis, gneisi, marmar & kaurzit.
Marmar

Batu Kapur

Jamadilakhir

Jamadilakhir juga merupakan bulan yang penting dalam calendar umat Islam. Dalam bulan ini berlaku beberapa peristiwa yang dihadapi oleh umat Islam. Antara peristiwa tersebut ialah:
Peperangan Zi Qarad adalah peristiwa penting yang berlaku pada Jamadilakhir, bulan dalam kalendar Islam sekarang. Kehebatan tentera Islam pada zaman Rasulullah juga tercatat dalam Peperangan Yarmuk pada tahun ke-13 Hijrah antara tentera Rom dan Islam. Tentera Rom disertai lebih 100,000 orang kalah kepada tentera Islam yang hanya 30,000 orang dalam peperangan itu.
Tentera Islam dipimpin oleh Khalid bin Al Walid dan Abu `Ubaidah. Kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Ada pandangan yang mengatakan peperangan itu berlaku pada Rejab tahun ke-15 Hijrah.

Peristiwa penting lain dalam Jamadilakhir :-

- Peperangan Al Jamal yang berlaku di luar kota Basrah, Iraq pada 10 Jamadilakhir tahun ke-36 Hijrah antara Amir Al Mu’minin Ali bin Abi Talib.
Peperangan ini disertai beberapa sahabat antaranya `Ammar bin Yasir dan Abdullah bin Al Abbas. Dalam peperangan itu mereka menghadapi kumpulan yang diketuai oleh `Aisyah binti Abi Bakar, Talhah bin Ubaidillah dan Az Zubair bin Al `Awwam yang menuntut supaya khalifah menjalankan penyiasatan dan pembelaan terhadap pembunuhan Usman bin Affan.
Peperangan itu dimenangi oleh tentera Ali bin Abi Talib. Ada pendapat yang mengatakan bahawa peperangan itu berlaku pada Jamadilawal.

Thursday 26 May 2011

Syiah...

Apabila kita membicarakan tentang Syiah, ramai yang masih tidak tahu apa itu Syiah? Apakah mereka berbeza daripada kita penganut Islam Ahlulsunnah Waljamaah.
Aliran Syiah Islam berpecah kepada cabang-cabang kecil. Tiga cabang yang utama pada masa kini mempunyai bilangan pengikut yang besar. Yang paling terkenal dan terbesar ialah golongan Syiah Imam Dua Belas atau Imamiyyah/Ja'fariyyah (اثنا عشرية iʿašariyya) yang merangkumi 90% penduduk di Iran dan sebahagian besar penduduk Iraq. Golongan Syiah yang kecil lain termasuklah Ismailiyah, Zaidiyah dan Syiah Imam Bertujuh. Alawiyyah dan Duruzi juga menganggap diri mereka Syiah meskipun mereka tidak sentiasa diiktiraf oleh Syiah lain. Tarikat-tarikat Sufi beraliran Syiah termasuklah Tarikat Alevi, Bektashi Hamadani dan Fatimiyyah. Dua puluh peratus dari penduduk Turki mengikut Tarikat Alevi sementara Lubnan dan Syria pula mempunyai bilangan besar golongan Duruzi dan Alawi.
Di sini disenaraikan beberapa perbezaan antara Syiah (Imamiyyah Ithna Asyariyyah) & Ahlulsunnah Waljamaah:
1.       Rukun Islam :
Ahlussunnah : Rukun Islam ada 5 (lima)
 a)       Syahadatain
 b)       As-Sholah
 c)       As-Shoum
 d)       Az-Zakah
 e)       Al-Haj
 Syiah : Rukun Islam Syiah juga ada 5 (lima) tapi berbeza:
 a)       As-Sholah
 b)       As-Shoum
 c)       Az-Zakah
 d)       Al-Haj
 e)       Al wilayah

 2.       Rukun Iman :
Ahlussunnah : Rukun Iman ada 6 (enam) :

 a)       Beriman kepada Allah
 b)       Beriman kepada Malaikat-malaikat Nya
 c)       Beriman kepada Kitab-kitab Nya
 d)       beriman kepada Rasul Nya
 e)       Beriman kepada Hari kiamat
 f)        Beriman kepada Qada’ & Qadar, baik-buruknya dari Allah.
 Syiah : Rukun Iman Syiah ada 5 (lima)*
 a)       At-Tauhid
 b)       An Nubuwwah
 c)       Al Imamah
 d)       Al Adlu
 e)       Al Ma’ad

 3.       Kalimah Syahadah :
Ahlussunnah : Dua kalimat syahadah Asyhadu an Laailaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadan Rasulullah.
 Syiah : Tiga kalimah syahadah, disamping Asyhadu an Laailaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadan Rasulullah, ditambah dengan menyebut dua belas imam-imam mereka.

 4.       Imam-imam :
Ahlussunnah : Percaya kepada imam-imam tidak termasuk rukun iman. Adapun jumlah imam-imam Ahlussunnah tidak terbatas. Akan sentiasa timbul imam-imam, sampai hari kiamat. Kerana menghadkan atau membatasi imam-imam hanya kepada dua belas (12) atau jumlah tertentu, tidak dibenarkan.
 Syiah : Mempercayai kepada dua belas imam-imam mereka, termasuk rukun iman. Orang-orang yang tidak beriman kepada dua belas imam-imam mereka (seperti orang-orang Sunni), maka menurut ajaran Syiah dianggap kafir dan akan masuk neraka.



 5. Khulafaurrosyidin :     
Ahlussunnah : Khulafaurrosyidin yang diakui (sah) adalah :
 a)       Saidina Abu Bakar
 b)       Saidina Umar
 c)       Saidina Uthman
 d)       Saidina Ali Radhiallahu anhum
 Syiah : Ketiga-tiga Khalifah terawal (Abu Bakar, Umar, Uthman) tidak diakui oleh Syiah. Ini kerana dianggap telah merampas kekhalifahan Ali bin Abi Thalib (padahal Imam Ali sendiri membai'at dan mengakui kekhalifahan mereka).
Sumber rujukan :

Tamat Semester 5 PISMP

Assalamualaikum,
Dah lama rasanya tak update blog ni... sibuk dengan aktiviti pengajian yang agak memenatkan...eloklah juga rehatkan minda dengan mengupdate blog ni setelah berhempas pulas menjalani semester yang sangat mencabar... walaubagaimanapun, semester ini banyak memberi pengalaman yang berguna untuk seorang bakal guru seperti saya...
Pengalaman praktikum tidak dapat saya lupakan... kerenah dan telatah murid-murid membuatkan saya merasa bagaimana menjadi seorang guru...Selain itu, aktiviti GERKO Olahraga banyak memberi pendedahan yang berguna unruk digunakan sekiranya diberi tanggungjawab melatih murid-murid dalam sukan di sekolah nanti... Dengan assignment dan projek yang melambak, menjadi santapan harian kepada... Lebih2 lagi, suka buat assignment last2 minit...jawabnya x tido malam la... tapi, itu semua lumrah dalam kehidupan seorang mahasiswa...
Seperti biasa, semester akan diakhiri dengan peperiksaan... memang diakui, peperiksaan kali ni memang sangat mencabar minda atau dalam bahasa mudah sangat susah terutama paper "Energetic in Chemistry" sampaikan ada kawan yang menangis....xtaulah sebab x dpt jawab @ mengada-ngada nk tunjuk kt orang...maklumlah perempuan...kami, geng2 lelaki relax jelah...redha, pastu balik, sambung main game... Nasib baik ade juga paper yang senang dan memang diakui senang oleh rakan2 iaitu paper "Pengurusan Sukan" & "English for Language Teacher"... First time dalam hidup...paper English aku kata senang... aku ni x pandai English...
Dalam kesibukan menghadapi peperiksaan, kami mendapat berita sedih...Ayahanda kepada salah seorang classmate meninggal dunia...Al-Fatihah...moga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman... Peristiwa ni mengingatkan aku kepada kematian yang menimpa aku, dimana bonda tersayang yang juga meninggal ketika aku sedang gigih menghadapi peperiksaan pada semester lepas...
Itu sahaja sedikit sebanyak pengalaman semester ni yang dapat dikongsi...
Assalamualaikum...
MENCARI KEDAMAIAN ABADI...

Thursday 21 April 2011

Jurnal Minggu 4 Praktikum Fasa 1 2011

Jurnal Minggu 4

Masalah
Sepanjang 4 minggu menjalani praktikum, saya berdepan dengan masalah penampilan dan kebersihan diri murid-murid. Murid-murid tidak menjaga kekemasan dan kebersihan pakaian, dan diri sendiri. Saya dapati, murid-murid tidak mengambil berat dan memandang serius tentang kebersihan dan kekemasan diri. Murid-murid tidak memasukkan baju ke dalam seluar supaya Nampak lebih kemas. Selain itu, murid-murid akan bermain dalam berpakaian sekolah sehingga baju mereka kotor dan berbau. Kebanyakan murid-murid datang pada waktu pagi dengan berpakaian bersih dan kemas, akan tetapi, mereka akan mula berkeadaan kotor dan berbau setelah bermain-main terutama selepas waktu rehat.
Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kepada seorang murid-murid sekolah. Seharusnya, murid-murid menjaga penampilan diri dari segi kekemasan dan kebersihan diri. Malahan, terdapat murid-murid yang mempunyai bau badan yang busuk. Masalah kebersihan ini bukan sekadar berlaku kepada murid Tahap 1, malah melibatkan murid Tahap 2.
Sebagai seorang guru, perkara ini membimbangkan kerana ianya melibatkan imej sekolah dan guru-guru. Sekiranya pihak luar datang ke sekolah dan mendapati murid-murid tidak berpakaian kemas dan kotor, mereka akan menyalahkan guru-guru dan pihak sekolah. Ini akan memberikan malu dan merosakkan imej guru dan sekolah.saya menyifatkan keadaan ini dalam fasa membimbangkan dan perlu diatasi segera. Selain itu, proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan baik dan lancar sekiranya murid-murid berkeadaan bersih dan kemas.

Analisis masalah
Dalam sesuatu kehidupan manusia, kebersihan diri merupakan salah satu unsur yang penting. Menjaga kebersihan adalah amalan terpenting dalam kehidupan seharian kerana kebersihan tonggak kehidupan yang selesa dan harmoni. Kebersihan menggambarkan perwatakan dan keperibadian seseorang individu di mata masyarakat. Kebersihan perlu diambil berat dan diamalkan sejak masih kecil lagi. Murid-murid sepatutnya menjadikan penampilan yang kemas dan menjaga kebersihan sebagai satu budaya hidup seharian terutama ketika berada di sekolah. Ini kerana, sekolah merupakan tempat murid-murid menimba ilmu pengetahuan. Sekiranya suasana dan diri tidak bersih dan kemas akan menyebabkan proses pembelajaran terganggu seterusnya mengganggu tumpuan dan perhatian murid-murid menimba ilmu pengetahuan. Menurut Islam:

“Islam menganjurkan umatnya sentiasa mengamalkan kebersihan mencakupi kebersihan diri, keluarga, tempat tinggal dan tempat beribadat kerana suasana bersih dan suci membawa kepada persekitaran sihat, selamat dan impak kesejahteraan kepada umum.”

Sementara itu, seperti yang kita semua sedia maklum, agama Islam juga menitikberatkan soal kebersihan. Menurut Sabda Rasulullah SAW:

” Kebersihan merupakan sebahagian daripada iman”

Kita harus sedar bahawa menjaga kebersihan dapat menghindarkan diri dari terkena jangkitan penyakit. Maka, kita bertanggungjawab menjaga kebersihan dan kekemasan diri.

Cadangan
Dalam mengatasi masalah kebersihan dan kekemasan diri murid-murid, ianya menjadi tanggungjawab semua pihak di sekolah. Murid-murid bertanggungjawab terhadap diri sendiri, guru pula bertanggungjawab menegur dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada murid-murid. Pihak sekolah pula bertanggungjawab seperti mengadakan kempen kebersihan dan menguatkuasakan peraturan kebersihan dan kekemasan diri murid-murid.
Guru-guru merupakan individu yang paling penting dalam memastikan murid-murid menjaga kebersihan dan kekemasan diri. Guru tidak seharusnya membiarkan perkara ini berlaku kerana ianya melibatkan imej guru. Guru perlu sentiasa menegur dan tegas terhadap kebersihan murid-murid. Teguran secara terus merupakan cara yang terbaik untuk mengatasi masalah ini. Sekiranya terdapat murid-murid yang kemas dan bersih dalam penampilan diri, guru perlu memberi pujian kepada murid tersebut dan menjadikan contoh kepada murid-murid lain.
Selain itu, penampilan guru juga harus dijaga kerana murid-murid menganggap guru merupakan contoh yang terbaik kepada mereka. Sekiranya guru tidak menjaga kekemasan dan kebersihan akan memberi kesan kepada murid-murid. Murid-murid akan beranggapan kenapa mereka mesti menjaga kekemasan dan kebersihan diri sekiranya guru tidak melakukan sedemikian.

Tempoh penyelesaian
10/04/2011 hingga 14/04/2011 iaitu selama 5 hari.

Tindakan susulan
Guru seharusnya memberi nasihat dan teguran secara berterusan. Ini kerana, menjadi tanggungjawab guru-guru untuk menegur murid-murid dan mengatasi masalah ini supaya tidak berlarutan. Ketika proses P&P, guru-guru mengingatkan dan menegur murid tentang menjaga kebersihan. Teguran tidak terhad di dalam kelas sahaja, tetapi boleh dilakukan di mana-mana sahaja sekiranya bertemu murid-murid yang tidak berpakaian kemas dan kotor.

Catatan
Dalam memastikan kehidupan selesa dan harmoni, kebersihan diri seharusnya diambil berat terutama kepada murid-murid yang sedang menimba ilmu pengetahuan. Murid-murid perlu berada dalam keadaan bersih dan kemas supaya proses P&P berjalan dengan berkesan. Selain itu, guru-guru semestinya menunjukkan contoh teladan kepada murid-murid kerana guru merupakan contoh ikutan terbaik untuk murid-murid. Kebersihan melambangkan keperibadian murid-murid, guru dan imej sekolah.

Jurnal Minggu 3 Praktikum Fasa 1 2011

Jurnal Minggu 3
Masalah
Setelah 2 minggu pengendalian proses aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bagi matapelajaran Sains, saya dapati dan berpendapat bahawa segelintir murid kurang memberi tumpuan dan perhatian terhadap pelajaran. Terdapat dalam kalangan murid yang melakukan tingkah laku negatif iaitu tidak mengendahkan arahan guru, membuat bising, berbual dengan rakan disebelah dan membuat hal sendiri. Masalah ini berkemungkinan berpunca daripada kelemahan guru sendiri dalam mengendalikan kelas dan mewujudkan komunikasi berkesan dalam hubungan guru dengan murid. Ini boleh dikatakan sebagai hubungan interpersonal. Sebagai seorang pendidik atau guru, saya merasakan bahawa guru seharusnya menggunakan corak kepimpinan atau pengendalian yang bersesuaian dan menggunakan teknik yang pelbagai untuk mengendalikan kelas dan mewujudkan interaksi yang berkesan dengan murid-murid menyebabkan taknik ini mempengaruhi pemupukan minat murid terhadap proses pengajaran.
Analisis masalah
Proses pengajaran dan pembelajaran dan komunikasi yang berkesan seringkali terganggu akibat daripada gangguan-gangguan yang berlaku dalam kelas seperti bising, perhubungan guru dan murid yang tidak mesra, suasana bilik darjah yang kurang kondusif, kurangnya minat murid untuk belajar dan seumpamanya. Masalah bising dalam kelas atau bilik darjah contohnya akan menyebabkan guru menghadapi kesukaran dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran dan menyampaikan pelajaran yang jelas supaya murid-murid dapat mendengarnya. Antara faktor atau punca berlakunya komunikasi kurang berkesan akibat daripada sikap murid-murid yang kurang berminat untuk belajar.


Menurut Mok Soon Sang :
”Kekurangan minat belajar pun boleh menjejaskan komunikasi dalam bilik darjah. Murid-murid yang mempunyai pemikiran tertutup tidak akan menumpukan perhatian terhadap pelajaran”.
Corak kepimpinan guru dalam kelas dan bilik darjah banyak mempengaruhi proses interaksi antara guru dengan murid. Guru yang mengamalkan corak kepimpinan autokratik di mana murid-murid hanya mengikut arahan dan kehendak guru serta tidak diberi peluang menyuarakan pendapat atau memberi cadangan mereka. Akhirnya, interaksi di antara murid tidak digalakkan dan bersifat pasif.
Cadangan
Sebagai seorang guru, saya seharusnya bersedia untuk melakukan beberapa perubahan untuk memastikan segala masalah yang dihadapi dapat dikurangkan atau diatasi. Saya akan mencuba mengaplikasikan contoh dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang disarankan seperti melakuakan corak kepimpinan demokratik. Mok Soon Sang (2003) juga menyatakan bahawa corak kepimpinan guru ketika berada di dalam bilik darjah juga mempengaruhi keberkesanan komunikasi yang berlangsung (samada berkesan atau tidak berkesan). Guru yang mengamalkan kepimpinan demokratik akan meninggalkan kesan berikut ke atas interaksi di antara guru dengan murid-muridnya:
Selain itu, guru wajar mengaplikasikan kemahiran komunikasi berkesan. Kemahiran berkomunikasi berkesan boleh dikenal pasti dari ciri-ciri pertuturan yang baik seperti berikut:
”Bertutur dengan penggunaan kepelbagaian nada. Suara yang bertenaga, tatabahasa yang betul, perkataan yang tepat, mudah difahami, penghentian sejenak yang efektif, serta nadanya penuh dengan perasaan yang menarik perhatian orang yang berkomunikasi.” Mok Soon Sang (2003)
Untuk menarik minat dan perhatian murid-murid terhadap pelajaran yang diajar, guru juga disaran agar merancang dan melaksanakan aktiviti P&P bercorak permainan. Pengaplikasian teknik menyoal untuk menggalakkan murid-murid menyertai aktiviti pembelajaran secara aktif juga boleh membantu.
Tempoh penyelesaian
10 April 2011 – 14 April 2011
Tindakan susulan
Saya percaya teknik pengajaran yang pelbagai dapat membantu saya dalam mengendalikan P&P dengan berkesan. Menurut kajian yang dijalankan oleh Reed dan Kirkpatrick (1998), mereka menyatakan:
”Seorang guru perlu mengaplikasikan pelbagai kaedah pengajaran bagi menarik minat murid untuk belajar”.
Disamping itu, saya akan cuba menggunakan kaedah peneguhan positif seperti pujian atau hadiah dan peneguhan negatif seperti dendaan dalam usaha mengawal murid-murid semasa mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran.

Catatan
Dalam mewujudkan suasana kelas atau bilik darjah yang baik dan berkesan, guru seharusnya kreatif dalam melakukan pelbagai teknik pengajaran supaya dapat mempengaruhi suasana P&P di dalam kelas nanti. Murid-murid akan lebih bersedia dan bersemangat untuk belajar sekiranya guru tampil dengan pelbagai kaedah dan perubahan dari semasa ke semasa. Maka, sebagai guru, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk senantiasa membuat pembaharuan sekaligus menjadikan proses P&P berkesan.

Jurnal Minggu 2 Praktikum Fasa 1 2011

Jurnal Minggu 2
Masalah
5 Elite merupakan kelas yang saya ajar untuk subjek Sains. Sepanjang seminggu saya mengajar kelas ini, saya dapati terdapat beberapa orang murid yang agak nakal. Mereka membuat bising dan tidak mahu mengikut arahan yang diberikan oleh saya. Selain itu, mereka kadang-kadang mengganggu rakan-rakan lain yang sedang melaksanakan aktiviti yang saya berikan. Oleh itu, saya telah menegur mereka sekiranya mereka melakukan perkara tersebut. Walau bagaimanapun, teguran yang diberikan tidak menghalang, menyekat atau memberhentikan mereka dari mengulangi tingkah laku yang sama. Mereka hanya akan diam untuk seketika sahaja dan setelah itu, mereka akan mula membuat bising dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dan rakan-rakan lain yang sedang melakukan tugasan yang saya berikan.
Analisis masalah
Sepanjang minggu ini, saya telah memasuki kelas 5 Elit sebanyak dua kali untuk empat waktu iaitu untuk subjek Sains. Mengikut susunan kelas, kedudukan kelas ini merupakan kelas pertama iaitu untuk murid-murid pandai. Walaubagaimanapun, tingkah laku sebilangan kecil murid dalam kelas ini agak nakal. Tingkah laku mereka ini menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran sering terganggu. Murid-murid yang nakal ini bukanlah dalam kalangan murid yang lemah daripada segi prestasi akademik sekiranya ingin dikaitkan tingkah laku mereka dengan keupayaan akademik. Saya perhatikan mereka merupakan murid yang pandai, lebih-lebih lagi berada dalam kelas yang paling hadapan. Murid-murid ini tiada masalah pembelajaran tetapi hanyalah sikap dan perangai mereka sahaja yang menimbulkan masalah. Kebanyakan murid-murid ini tinggal di kawasan taman perumahan berhampiran yang mempunyai kepadatan rumah dan penduduk yang padat. Murid-murid ini mungkin tidak mempunyai ruang atau kawasan untuk bermain ataupun berekreasi ketika di rumah menyebabkan mereka berasa agak terkongkong dan hanya di sekolah sahaja mereka dapat bermain dan melakukan aktiviti. Menurut Meece (2002), bermain merupakan sebahagian daripada perkembangan fizikal dan sosial kanak-kanak (Woolfolk,A.,2004). Selain itu, berkemungkinan murid-murid ini hanya ingin mendapatkan perhatian dari saya yang merupakan guru baru yang memasuki kelas mereka dengan melakukan tingkah laku yang negatif. Selain daripada itu, mungkin juga mereka tidak memahami pengajaran saya pada hari tersebut.
Cadangan
Bagi mencegah dan mengelakkan murid-murid ini membuat bising dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran yang akan dijalankan kelak, saya sebagai guru perlu membina hubungan yang baik dan mesra dengan murid-murid dengan sering berbual dengan murid-murid tersebut tentang diri, keluarga dan minat mereka. Selain itu, saya boleh selalu berinteraksi dan berkomunikasi dengan bertanya khabar atau menegur murid bila mana bertemu dengan mereka. Tindakan ini akan menambahkan lagi rasa senang hati di dalam diri murid kerana mereka akan rasa ada orang mengambil berat tentang dirinya. Jika sebelum ini, murid itu hanya dimarahi kerana berbuat nakal, kali ini dia rasa dihargai. Apabila mereka mesra dan baik dengan saya, mereka akan merasa malu untuk berkelakuan yang negatif. Kebarangkalian untuk murid tersebut bertingkah yang negatif pada masa hadapan akan berkurangan.
Selain itu, guru boleh memanggil murid-murid tersebut untuk berbincang dan berkongsi masalah yang mereka hadapi secara individu. Walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut, sekurang-kurangnya murid-murid akan merasa lega dan tenang kerana dapat berkongsi dan melepaskan masalah dalam diri mereka. Saya sebagai guru juga boleh memainkan peranan sebagai abang kepada murid-murid supaya hubungan yang mesra dapat terjalin tetapi mengikut batas-batas yang tertentu. Menurut Mortimore dan Whitty (1997), sekolah tidak mempunyai kuasa untuk mengubah kelemahan sosial sepenuhnya dalam masyarakat kita, namun perancangan intervensi yang baik di sekolah dapat membantu mereka yang menghadapi masalah sosial daripada tercicir dalam pendidikan. Sekolah perlu menyediakan persekitaran yang selamat bagi membantu perkembangan kanak-kanak khususnya yang menghadapi pengalaman dan pengaruh negatif dalam kehidupan mereka. Curwin dan Mondler menyatakan bahawa pengurusan bilik darjah yang berkesan merupakan satu strategi untuk mencegah masalah disiplin dan tingkah laku dan bukan satu respon kepada tingkah laku murid.
Selain itu, saya perlu membuat penerokaan untuk mengetahui sebab-sebab mereka selalu melakukan tingkah laku negatif semasa P&P dijalankan. Setelah mengetahui dan memahami seseorang murid dengan lebih dekat, mungkin dapat dikenalpasti punca mereka berkelakuan tertentu. Oleh itu, teguran dan nasihat yang sesuai boleh diberikan agar murid tersebut tidak terus berkelakuan negatif.
Tempoh penyelesaian
03 April 2011 hingga 14 April 2011 iaitu selama 12 hari.
Tindakan susulan
Ketika berlakunya Pengajaran dan Pembelajaran, guru perlu memantau dan memerhatikan kelakuan murid-murid terbabit setelah teguran dan nasihat diberikan. Bermula daripada situ, guru dapat mengenalpasti sama ada teguran dan nasihat yang diberikan kepada murid terbabit diikuti dan dipatuhi atau tidak. Selain itu, kebiasaannya, apabila telah diberi nasihat dan teguran, akan ada sedikit perubahan terhadap tingkah laku murid. Oleh itu, guru perlu memberi peneguhan positif seperti pujian dan galakan kepada murid-murid tersebut. Murid tersebut dijadikan contoh kepada murid-murid lain yang masih melakukan tingkah laku negatif.
Catatan
Menurut Kounin (1971), faktor utama dalam menguruskan tingkah laku dalm bilik darjah adalah berkaitan dengan kebolehan guru untuk mengawasi semua perkara yang berlaku dalam bilik darjahnya pada setiap masa dan cara untuk menangani masalah sebelum menjadi masalah disiplin.Seorang murid yang melakukan tingkah laku negatif akan mempengaruhi tingkah laku rakan sebaya di sekelilingnya. Oleh itu, guru perlu bijak dalam menguruskan bilik darjah untuk mengurang dan mengelakkan tingkah laku negatif.

Jurnal Minggu 1 Praktikum Fasa 1 2011

JURNAL MINGGU 1
Masalah
Saya menjalani praktikum fasa 1 di Sekolah Kebangsaan Taman Aman, Alor Setar, Kedah untuk tempoh 4 minggu. Untuk praktikum fasa ini saya hanya akan mengajar subjek major iaitu Sains. Pada minggu pertama ini, saya hanya perlu memerhati guru matapelajaran Sains melakukan sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru yang saya melakukan pemerhatian ialah Pn. Rohana Bt Abd Rahman dan En. Muhammad Shuhaimi Bin Majid. Dalam pengajaran dan pembelajaran yang saya perhatikan dalam kelas Tahun 5 Elit, saya dapati murid-murid dalam kelas ini sering menjawab soalan yang diajukan oleh guru tanpa mengangkat tangan. Murid-murid yang melebihi 30 orang itu tidak mengangkat tangan untuk menjawab soalan sebaliknya terus menjawab terutama murid-murid lelaki. Keadaan ini menggangu proses pengajaran dan pembelajaran.
Analisis Masalah
Kelas 5 Elit merupakan kelas yang pertama dalam keseluruhan tahun 5 di Sekolah Kebangsaan Taman Aman. Kelas ini mengandungi murid-murid yang mempunyai pencapaian yang cemerlang pencapaian akademik. Dalam maksud kata lain, kelas murid-murid pandai. Walaubagaimanapun, murid-murid dalam kelas ini sering tidak mengangkat tangan apabila hendak menjawab soalan yang diajukan oleh guru. Keadaan ini telah menyebabkan keadaan dalam kelas menjadi bising dan seterusnya mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran kelas ini dan kelas-kelas sekitarnya. Bukan seorang dua yang melakukan perkara tersebut, sebaliknya hamper keseluruhan murid dalam kelas tersebut menjawab tanpa mengangkat tangan terlebih dahulu. Daripada aspek guru, mungkin kerana guru yang mengajar tidak garang atau tegas terhadap murid-murid menyebabkan murid tidak merasa takut kepada guru.selain itu, mungkin guru tidak memberitahu atau membiasakan murid-murid untuk mengangkat tangan dahulu sebelum menjawab. Daripada aspek murid pula, mungkin murid-murid merasakan bahawa mereka tidak perlu untuk mengangkat apabila ingin menjawab soalan. Selain itu, murid-murid mungkin merasa teruja untuk menjawab soalan yang diberikan menyebabkan mereka berebut-rebut sehingga murid-murid tidak mengangkat tangan. Disamping itu, murid-murid ini berada di dalam kelas pandai. Jadi, mereka mempunyai banyak idea dan jawapan untuk diberikan tetapi tidak diberi peluang untuk mereka menyatakan idea.
Cadangan
Dalam mengatasi masalah murid-murid menjawab tanpa mengangkat tangan ini, saya akan memberi arahan ataupun menetapkan peraturan dengan murid-murid iaitu apabila ingin menjawab soalan hendaklah mengangkat tangan dahulu. Apabila guru memberi kebenaran barulah murid memberi jawapan. Sekiranya murid-murid tidak mengikut peraturan yang ditetapkan akan dikenakan dendaan. Selain itu, sekiranya murid menjawab tanpa mengangkat tangan dahulu, jawapan yang diberikan tidak akan diterima. Disamping itu, guru menggunakan kertas latihan berbanding soalan lisan. Selain itu, semua murid diberi peluang bagi menjawab soalan. Oleh itu, murid-murid tidak akan berebut menjawab soalan kerana setiap  murid mempunyai peluang masing-masing. Disamping itu juga, bagi memotivasikan murid-murid agar berkelakuan seperti yang dikehendaki guru, setiap murid yang menjawab soalan dengan mengangkat tangan dahulu akan mendapat ganjaran sejurus selepas itu.
Tempoh Penyelesaian
27 Mac 2011 – 31 Mac 2011
Tindakan Susulan
Guru membuat peraturan yang sesuai dengan situasi murid-murid. Selain itu, guru menyediakan kertas latihan dan menyediakan ganjaran untuk murid-murid yang kelakuan seperti yang dikehendaki oleh guru.
Catatan
Murid-murid akan berusaha untuk mengikut peraturan yang ditetapkan iaitu mengangkat tangan dahulu untuk menjawab soalan bagi mendapatkan ganjaran yang disediakan dan mengelakkan daripada dikenakan dendaan. Secara individu, murid-murid mempunyai motivasi untuk bersikap positif kerana murid-murid akan mendapat ganjaran. Pasti akan timbul keinginan dalam diri murid-murid lain untuk mendapatkan ganjaran tersebut apabila sudah ada rakan-rakan mereka yang memperolehnya. Keadaan ini bertepatan dengan Teori Pelaziman Operan Skinner di mana peneguhan positif (pemberian ganjaran harian) adalah rangsangan untuk menambahkan kebarangkalian pengulangan tingkah laku positif yang diinginkan guru. Peneguhan negatif (dendaan) juga diaplikasikan bagi memberi kesan yang tidak menyeronokkan dalam diri murid-murid dan dengan harapan mereka akan mengulangi tingkah laku yang diingini guru.