Thursday 21 April 2011

Jurnal Minggu 4 Praktikum Fasa 1 2011

Jurnal Minggu 4

Masalah
Sepanjang 4 minggu menjalani praktikum, saya berdepan dengan masalah penampilan dan kebersihan diri murid-murid. Murid-murid tidak menjaga kekemasan dan kebersihan pakaian, dan diri sendiri. Saya dapati, murid-murid tidak mengambil berat dan memandang serius tentang kebersihan dan kekemasan diri. Murid-murid tidak memasukkan baju ke dalam seluar supaya Nampak lebih kemas. Selain itu, murid-murid akan bermain dalam berpakaian sekolah sehingga baju mereka kotor dan berbau. Kebanyakan murid-murid datang pada waktu pagi dengan berpakaian bersih dan kemas, akan tetapi, mereka akan mula berkeadaan kotor dan berbau setelah bermain-main terutama selepas waktu rehat.
Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kepada seorang murid-murid sekolah. Seharusnya, murid-murid menjaga penampilan diri dari segi kekemasan dan kebersihan diri. Malahan, terdapat murid-murid yang mempunyai bau badan yang busuk. Masalah kebersihan ini bukan sekadar berlaku kepada murid Tahap 1, malah melibatkan murid Tahap 2.
Sebagai seorang guru, perkara ini membimbangkan kerana ianya melibatkan imej sekolah dan guru-guru. Sekiranya pihak luar datang ke sekolah dan mendapati murid-murid tidak berpakaian kemas dan kotor, mereka akan menyalahkan guru-guru dan pihak sekolah. Ini akan memberikan malu dan merosakkan imej guru dan sekolah.saya menyifatkan keadaan ini dalam fasa membimbangkan dan perlu diatasi segera. Selain itu, proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan baik dan lancar sekiranya murid-murid berkeadaan bersih dan kemas.

Analisis masalah
Dalam sesuatu kehidupan manusia, kebersihan diri merupakan salah satu unsur yang penting. Menjaga kebersihan adalah amalan terpenting dalam kehidupan seharian kerana kebersihan tonggak kehidupan yang selesa dan harmoni. Kebersihan menggambarkan perwatakan dan keperibadian seseorang individu di mata masyarakat. Kebersihan perlu diambil berat dan diamalkan sejak masih kecil lagi. Murid-murid sepatutnya menjadikan penampilan yang kemas dan menjaga kebersihan sebagai satu budaya hidup seharian terutama ketika berada di sekolah. Ini kerana, sekolah merupakan tempat murid-murid menimba ilmu pengetahuan. Sekiranya suasana dan diri tidak bersih dan kemas akan menyebabkan proses pembelajaran terganggu seterusnya mengganggu tumpuan dan perhatian murid-murid menimba ilmu pengetahuan. Menurut Islam:

“Islam menganjurkan umatnya sentiasa mengamalkan kebersihan mencakupi kebersihan diri, keluarga, tempat tinggal dan tempat beribadat kerana suasana bersih dan suci membawa kepada persekitaran sihat, selamat dan impak kesejahteraan kepada umum.”

Sementara itu, seperti yang kita semua sedia maklum, agama Islam juga menitikberatkan soal kebersihan. Menurut Sabda Rasulullah SAW:

” Kebersihan merupakan sebahagian daripada iman”

Kita harus sedar bahawa menjaga kebersihan dapat menghindarkan diri dari terkena jangkitan penyakit. Maka, kita bertanggungjawab menjaga kebersihan dan kekemasan diri.

Cadangan
Dalam mengatasi masalah kebersihan dan kekemasan diri murid-murid, ianya menjadi tanggungjawab semua pihak di sekolah. Murid-murid bertanggungjawab terhadap diri sendiri, guru pula bertanggungjawab menegur dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada murid-murid. Pihak sekolah pula bertanggungjawab seperti mengadakan kempen kebersihan dan menguatkuasakan peraturan kebersihan dan kekemasan diri murid-murid.
Guru-guru merupakan individu yang paling penting dalam memastikan murid-murid menjaga kebersihan dan kekemasan diri. Guru tidak seharusnya membiarkan perkara ini berlaku kerana ianya melibatkan imej guru. Guru perlu sentiasa menegur dan tegas terhadap kebersihan murid-murid. Teguran secara terus merupakan cara yang terbaik untuk mengatasi masalah ini. Sekiranya terdapat murid-murid yang kemas dan bersih dalam penampilan diri, guru perlu memberi pujian kepada murid tersebut dan menjadikan contoh kepada murid-murid lain.
Selain itu, penampilan guru juga harus dijaga kerana murid-murid menganggap guru merupakan contoh yang terbaik kepada mereka. Sekiranya guru tidak menjaga kekemasan dan kebersihan akan memberi kesan kepada murid-murid. Murid-murid akan beranggapan kenapa mereka mesti menjaga kekemasan dan kebersihan diri sekiranya guru tidak melakukan sedemikian.

Tempoh penyelesaian
10/04/2011 hingga 14/04/2011 iaitu selama 5 hari.

Tindakan susulan
Guru seharusnya memberi nasihat dan teguran secara berterusan. Ini kerana, menjadi tanggungjawab guru-guru untuk menegur murid-murid dan mengatasi masalah ini supaya tidak berlarutan. Ketika proses P&P, guru-guru mengingatkan dan menegur murid tentang menjaga kebersihan. Teguran tidak terhad di dalam kelas sahaja, tetapi boleh dilakukan di mana-mana sahaja sekiranya bertemu murid-murid yang tidak berpakaian kemas dan kotor.

Catatan
Dalam memastikan kehidupan selesa dan harmoni, kebersihan diri seharusnya diambil berat terutama kepada murid-murid yang sedang menimba ilmu pengetahuan. Murid-murid perlu berada dalam keadaan bersih dan kemas supaya proses P&P berjalan dengan berkesan. Selain itu, guru-guru semestinya menunjukkan contoh teladan kepada murid-murid kerana guru merupakan contoh ikutan terbaik untuk murid-murid. Kebersihan melambangkan keperibadian murid-murid, guru dan imej sekolah.

Jurnal Minggu 3 Praktikum Fasa 1 2011

Jurnal Minggu 3
Masalah
Setelah 2 minggu pengendalian proses aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bagi matapelajaran Sains, saya dapati dan berpendapat bahawa segelintir murid kurang memberi tumpuan dan perhatian terhadap pelajaran. Terdapat dalam kalangan murid yang melakukan tingkah laku negatif iaitu tidak mengendahkan arahan guru, membuat bising, berbual dengan rakan disebelah dan membuat hal sendiri. Masalah ini berkemungkinan berpunca daripada kelemahan guru sendiri dalam mengendalikan kelas dan mewujudkan komunikasi berkesan dalam hubungan guru dengan murid. Ini boleh dikatakan sebagai hubungan interpersonal. Sebagai seorang pendidik atau guru, saya merasakan bahawa guru seharusnya menggunakan corak kepimpinan atau pengendalian yang bersesuaian dan menggunakan teknik yang pelbagai untuk mengendalikan kelas dan mewujudkan interaksi yang berkesan dengan murid-murid menyebabkan taknik ini mempengaruhi pemupukan minat murid terhadap proses pengajaran.
Analisis masalah
Proses pengajaran dan pembelajaran dan komunikasi yang berkesan seringkali terganggu akibat daripada gangguan-gangguan yang berlaku dalam kelas seperti bising, perhubungan guru dan murid yang tidak mesra, suasana bilik darjah yang kurang kondusif, kurangnya minat murid untuk belajar dan seumpamanya. Masalah bising dalam kelas atau bilik darjah contohnya akan menyebabkan guru menghadapi kesukaran dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran dan menyampaikan pelajaran yang jelas supaya murid-murid dapat mendengarnya. Antara faktor atau punca berlakunya komunikasi kurang berkesan akibat daripada sikap murid-murid yang kurang berminat untuk belajar.


Menurut Mok Soon Sang :
”Kekurangan minat belajar pun boleh menjejaskan komunikasi dalam bilik darjah. Murid-murid yang mempunyai pemikiran tertutup tidak akan menumpukan perhatian terhadap pelajaran”.
Corak kepimpinan guru dalam kelas dan bilik darjah banyak mempengaruhi proses interaksi antara guru dengan murid. Guru yang mengamalkan corak kepimpinan autokratik di mana murid-murid hanya mengikut arahan dan kehendak guru serta tidak diberi peluang menyuarakan pendapat atau memberi cadangan mereka. Akhirnya, interaksi di antara murid tidak digalakkan dan bersifat pasif.
Cadangan
Sebagai seorang guru, saya seharusnya bersedia untuk melakukan beberapa perubahan untuk memastikan segala masalah yang dihadapi dapat dikurangkan atau diatasi. Saya akan mencuba mengaplikasikan contoh dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang disarankan seperti melakuakan corak kepimpinan demokratik. Mok Soon Sang (2003) juga menyatakan bahawa corak kepimpinan guru ketika berada di dalam bilik darjah juga mempengaruhi keberkesanan komunikasi yang berlangsung (samada berkesan atau tidak berkesan). Guru yang mengamalkan kepimpinan demokratik akan meninggalkan kesan berikut ke atas interaksi di antara guru dengan murid-muridnya:
Selain itu, guru wajar mengaplikasikan kemahiran komunikasi berkesan. Kemahiran berkomunikasi berkesan boleh dikenal pasti dari ciri-ciri pertuturan yang baik seperti berikut:
”Bertutur dengan penggunaan kepelbagaian nada. Suara yang bertenaga, tatabahasa yang betul, perkataan yang tepat, mudah difahami, penghentian sejenak yang efektif, serta nadanya penuh dengan perasaan yang menarik perhatian orang yang berkomunikasi.” Mok Soon Sang (2003)
Untuk menarik minat dan perhatian murid-murid terhadap pelajaran yang diajar, guru juga disaran agar merancang dan melaksanakan aktiviti P&P bercorak permainan. Pengaplikasian teknik menyoal untuk menggalakkan murid-murid menyertai aktiviti pembelajaran secara aktif juga boleh membantu.
Tempoh penyelesaian
10 April 2011 – 14 April 2011
Tindakan susulan
Saya percaya teknik pengajaran yang pelbagai dapat membantu saya dalam mengendalikan P&P dengan berkesan. Menurut kajian yang dijalankan oleh Reed dan Kirkpatrick (1998), mereka menyatakan:
”Seorang guru perlu mengaplikasikan pelbagai kaedah pengajaran bagi menarik minat murid untuk belajar”.
Disamping itu, saya akan cuba menggunakan kaedah peneguhan positif seperti pujian atau hadiah dan peneguhan negatif seperti dendaan dalam usaha mengawal murid-murid semasa mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran.

Catatan
Dalam mewujudkan suasana kelas atau bilik darjah yang baik dan berkesan, guru seharusnya kreatif dalam melakukan pelbagai teknik pengajaran supaya dapat mempengaruhi suasana P&P di dalam kelas nanti. Murid-murid akan lebih bersedia dan bersemangat untuk belajar sekiranya guru tampil dengan pelbagai kaedah dan perubahan dari semasa ke semasa. Maka, sebagai guru, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk senantiasa membuat pembaharuan sekaligus menjadikan proses P&P berkesan.

Jurnal Minggu 2 Praktikum Fasa 1 2011

Jurnal Minggu 2
Masalah
5 Elite merupakan kelas yang saya ajar untuk subjek Sains. Sepanjang seminggu saya mengajar kelas ini, saya dapati terdapat beberapa orang murid yang agak nakal. Mereka membuat bising dan tidak mahu mengikut arahan yang diberikan oleh saya. Selain itu, mereka kadang-kadang mengganggu rakan-rakan lain yang sedang melaksanakan aktiviti yang saya berikan. Oleh itu, saya telah menegur mereka sekiranya mereka melakukan perkara tersebut. Walau bagaimanapun, teguran yang diberikan tidak menghalang, menyekat atau memberhentikan mereka dari mengulangi tingkah laku yang sama. Mereka hanya akan diam untuk seketika sahaja dan setelah itu, mereka akan mula membuat bising dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dan rakan-rakan lain yang sedang melakukan tugasan yang saya berikan.
Analisis masalah
Sepanjang minggu ini, saya telah memasuki kelas 5 Elit sebanyak dua kali untuk empat waktu iaitu untuk subjek Sains. Mengikut susunan kelas, kedudukan kelas ini merupakan kelas pertama iaitu untuk murid-murid pandai. Walaubagaimanapun, tingkah laku sebilangan kecil murid dalam kelas ini agak nakal. Tingkah laku mereka ini menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran sering terganggu. Murid-murid yang nakal ini bukanlah dalam kalangan murid yang lemah daripada segi prestasi akademik sekiranya ingin dikaitkan tingkah laku mereka dengan keupayaan akademik. Saya perhatikan mereka merupakan murid yang pandai, lebih-lebih lagi berada dalam kelas yang paling hadapan. Murid-murid ini tiada masalah pembelajaran tetapi hanyalah sikap dan perangai mereka sahaja yang menimbulkan masalah. Kebanyakan murid-murid ini tinggal di kawasan taman perumahan berhampiran yang mempunyai kepadatan rumah dan penduduk yang padat. Murid-murid ini mungkin tidak mempunyai ruang atau kawasan untuk bermain ataupun berekreasi ketika di rumah menyebabkan mereka berasa agak terkongkong dan hanya di sekolah sahaja mereka dapat bermain dan melakukan aktiviti. Menurut Meece (2002), bermain merupakan sebahagian daripada perkembangan fizikal dan sosial kanak-kanak (Woolfolk,A.,2004). Selain itu, berkemungkinan murid-murid ini hanya ingin mendapatkan perhatian dari saya yang merupakan guru baru yang memasuki kelas mereka dengan melakukan tingkah laku yang negatif. Selain daripada itu, mungkin juga mereka tidak memahami pengajaran saya pada hari tersebut.
Cadangan
Bagi mencegah dan mengelakkan murid-murid ini membuat bising dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran yang akan dijalankan kelak, saya sebagai guru perlu membina hubungan yang baik dan mesra dengan murid-murid dengan sering berbual dengan murid-murid tersebut tentang diri, keluarga dan minat mereka. Selain itu, saya boleh selalu berinteraksi dan berkomunikasi dengan bertanya khabar atau menegur murid bila mana bertemu dengan mereka. Tindakan ini akan menambahkan lagi rasa senang hati di dalam diri murid kerana mereka akan rasa ada orang mengambil berat tentang dirinya. Jika sebelum ini, murid itu hanya dimarahi kerana berbuat nakal, kali ini dia rasa dihargai. Apabila mereka mesra dan baik dengan saya, mereka akan merasa malu untuk berkelakuan yang negatif. Kebarangkalian untuk murid tersebut bertingkah yang negatif pada masa hadapan akan berkurangan.
Selain itu, guru boleh memanggil murid-murid tersebut untuk berbincang dan berkongsi masalah yang mereka hadapi secara individu. Walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut, sekurang-kurangnya murid-murid akan merasa lega dan tenang kerana dapat berkongsi dan melepaskan masalah dalam diri mereka. Saya sebagai guru juga boleh memainkan peranan sebagai abang kepada murid-murid supaya hubungan yang mesra dapat terjalin tetapi mengikut batas-batas yang tertentu. Menurut Mortimore dan Whitty (1997), sekolah tidak mempunyai kuasa untuk mengubah kelemahan sosial sepenuhnya dalam masyarakat kita, namun perancangan intervensi yang baik di sekolah dapat membantu mereka yang menghadapi masalah sosial daripada tercicir dalam pendidikan. Sekolah perlu menyediakan persekitaran yang selamat bagi membantu perkembangan kanak-kanak khususnya yang menghadapi pengalaman dan pengaruh negatif dalam kehidupan mereka. Curwin dan Mondler menyatakan bahawa pengurusan bilik darjah yang berkesan merupakan satu strategi untuk mencegah masalah disiplin dan tingkah laku dan bukan satu respon kepada tingkah laku murid.
Selain itu, saya perlu membuat penerokaan untuk mengetahui sebab-sebab mereka selalu melakukan tingkah laku negatif semasa P&P dijalankan. Setelah mengetahui dan memahami seseorang murid dengan lebih dekat, mungkin dapat dikenalpasti punca mereka berkelakuan tertentu. Oleh itu, teguran dan nasihat yang sesuai boleh diberikan agar murid tersebut tidak terus berkelakuan negatif.
Tempoh penyelesaian
03 April 2011 hingga 14 April 2011 iaitu selama 12 hari.
Tindakan susulan
Ketika berlakunya Pengajaran dan Pembelajaran, guru perlu memantau dan memerhatikan kelakuan murid-murid terbabit setelah teguran dan nasihat diberikan. Bermula daripada situ, guru dapat mengenalpasti sama ada teguran dan nasihat yang diberikan kepada murid terbabit diikuti dan dipatuhi atau tidak. Selain itu, kebiasaannya, apabila telah diberi nasihat dan teguran, akan ada sedikit perubahan terhadap tingkah laku murid. Oleh itu, guru perlu memberi peneguhan positif seperti pujian dan galakan kepada murid-murid tersebut. Murid tersebut dijadikan contoh kepada murid-murid lain yang masih melakukan tingkah laku negatif.
Catatan
Menurut Kounin (1971), faktor utama dalam menguruskan tingkah laku dalm bilik darjah adalah berkaitan dengan kebolehan guru untuk mengawasi semua perkara yang berlaku dalam bilik darjahnya pada setiap masa dan cara untuk menangani masalah sebelum menjadi masalah disiplin.Seorang murid yang melakukan tingkah laku negatif akan mempengaruhi tingkah laku rakan sebaya di sekelilingnya. Oleh itu, guru perlu bijak dalam menguruskan bilik darjah untuk mengurang dan mengelakkan tingkah laku negatif.

Jurnal Minggu 1 Praktikum Fasa 1 2011

JURNAL MINGGU 1
Masalah
Saya menjalani praktikum fasa 1 di Sekolah Kebangsaan Taman Aman, Alor Setar, Kedah untuk tempoh 4 minggu. Untuk praktikum fasa ini saya hanya akan mengajar subjek major iaitu Sains. Pada minggu pertama ini, saya hanya perlu memerhati guru matapelajaran Sains melakukan sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru yang saya melakukan pemerhatian ialah Pn. Rohana Bt Abd Rahman dan En. Muhammad Shuhaimi Bin Majid. Dalam pengajaran dan pembelajaran yang saya perhatikan dalam kelas Tahun 5 Elit, saya dapati murid-murid dalam kelas ini sering menjawab soalan yang diajukan oleh guru tanpa mengangkat tangan. Murid-murid yang melebihi 30 orang itu tidak mengangkat tangan untuk menjawab soalan sebaliknya terus menjawab terutama murid-murid lelaki. Keadaan ini menggangu proses pengajaran dan pembelajaran.
Analisis Masalah
Kelas 5 Elit merupakan kelas yang pertama dalam keseluruhan tahun 5 di Sekolah Kebangsaan Taman Aman. Kelas ini mengandungi murid-murid yang mempunyai pencapaian yang cemerlang pencapaian akademik. Dalam maksud kata lain, kelas murid-murid pandai. Walaubagaimanapun, murid-murid dalam kelas ini sering tidak mengangkat tangan apabila hendak menjawab soalan yang diajukan oleh guru. Keadaan ini telah menyebabkan keadaan dalam kelas menjadi bising dan seterusnya mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran kelas ini dan kelas-kelas sekitarnya. Bukan seorang dua yang melakukan perkara tersebut, sebaliknya hamper keseluruhan murid dalam kelas tersebut menjawab tanpa mengangkat tangan terlebih dahulu. Daripada aspek guru, mungkin kerana guru yang mengajar tidak garang atau tegas terhadap murid-murid menyebabkan murid tidak merasa takut kepada guru.selain itu, mungkin guru tidak memberitahu atau membiasakan murid-murid untuk mengangkat tangan dahulu sebelum menjawab. Daripada aspek murid pula, mungkin murid-murid merasakan bahawa mereka tidak perlu untuk mengangkat apabila ingin menjawab soalan. Selain itu, murid-murid mungkin merasa teruja untuk menjawab soalan yang diberikan menyebabkan mereka berebut-rebut sehingga murid-murid tidak mengangkat tangan. Disamping itu, murid-murid ini berada di dalam kelas pandai. Jadi, mereka mempunyai banyak idea dan jawapan untuk diberikan tetapi tidak diberi peluang untuk mereka menyatakan idea.
Cadangan
Dalam mengatasi masalah murid-murid menjawab tanpa mengangkat tangan ini, saya akan memberi arahan ataupun menetapkan peraturan dengan murid-murid iaitu apabila ingin menjawab soalan hendaklah mengangkat tangan dahulu. Apabila guru memberi kebenaran barulah murid memberi jawapan. Sekiranya murid-murid tidak mengikut peraturan yang ditetapkan akan dikenakan dendaan. Selain itu, sekiranya murid menjawab tanpa mengangkat tangan dahulu, jawapan yang diberikan tidak akan diterima. Disamping itu, guru menggunakan kertas latihan berbanding soalan lisan. Selain itu, semua murid diberi peluang bagi menjawab soalan. Oleh itu, murid-murid tidak akan berebut menjawab soalan kerana setiap  murid mempunyai peluang masing-masing. Disamping itu juga, bagi memotivasikan murid-murid agar berkelakuan seperti yang dikehendaki guru, setiap murid yang menjawab soalan dengan mengangkat tangan dahulu akan mendapat ganjaran sejurus selepas itu.
Tempoh Penyelesaian
27 Mac 2011 – 31 Mac 2011
Tindakan Susulan
Guru membuat peraturan yang sesuai dengan situasi murid-murid. Selain itu, guru menyediakan kertas latihan dan menyediakan ganjaran untuk murid-murid yang kelakuan seperti yang dikehendaki oleh guru.
Catatan
Murid-murid akan berusaha untuk mengikut peraturan yang ditetapkan iaitu mengangkat tangan dahulu untuk menjawab soalan bagi mendapatkan ganjaran yang disediakan dan mengelakkan daripada dikenakan dendaan. Secara individu, murid-murid mempunyai motivasi untuk bersikap positif kerana murid-murid akan mendapat ganjaran. Pasti akan timbul keinginan dalam diri murid-murid lain untuk mendapatkan ganjaran tersebut apabila sudah ada rakan-rakan mereka yang memperolehnya. Keadaan ini bertepatan dengan Teori Pelaziman Operan Skinner di mana peneguhan positif (pemberian ganjaran harian) adalah rangsangan untuk menambahkan kebarangkalian pengulangan tingkah laku positif yang diinginkan guru. Peneguhan negatif (dendaan) juga diaplikasikan bagi memberi kesan yang tidak menyeronokkan dalam diri murid-murid dan dengan harapan mereka akan mengulangi tingkah laku yang diingini guru.

Penyataan Profesional Praktikum Fasa 1 2011

Sebagai salah seorang guru pelatih di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra, Kedah Darul Aman, saya wajib menjalani latihan mengajar ataupun praktikum selama 4 minggu untuk fasa 1. Praktikum untuk sesi ini ialah opsyen major Sains. Saya telah memilih Sekolah Kebangsaan Taman Aman untuk menjalankan praktikum pada kali ini bermula 20 Mac 2011 sehingga 14 April 2011. Latihan praktikum ini dilaksanakan sebagai memenuhi syarat yeng telah ditetapkan oleh Institut Pendidikan Guru.
Sebagai bakal guru, azam dan harapan saya melalui latihan praktikum ini ialah untuk membina jati diri seorang guru. Untuk membina jati diri ini, saya perlu memperolehi pelbagai pendedahan dalam pelbagai bidang berkaitan perguruan dan pendidikan Sains di sekolah khususnya. Selain itu, dalam praktikum ini juga, saya dapat memahami dan mengenali sedalamnya mengenai budaya murid dan guru serta suasana di sekolah rendah sebagai pendedahan dan pengalaman awal sebelum saya ditauliahkan sebagai seorang guru nanti. Pendedahan awal sangat penting kepada bakal guru supaya teknik pengajaran dapat dijalankan dengan betul mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Semoga saya akan dapat mengambil dan menimba ilmu sebanyak mungkin dan pengalaman supaya dapat digunakan dan diaplikasikan semasa mengajar kelak.
Antara harapan saya untuk membina jati diri guru ialah dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah. Selain itu, Kehadiran saya ke sekolah itu diterima oleh guru-guru, murid-murid dan kakitangan sekolah. Untuk itu, saya perlu menunjukkan sikap mesra terhadap warga sekolah untuk membina hubungan baik antara saya dan warga sekolah. Disamping itu, saya dapat menjalinkan hubungan profesional dengan guru-guru dan kakitangan sekolah. Hubungan professional ini dapat dijalin dengan bekerjasama dengan pihak sekolah dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti yang berkaitan. Saya juga dapat dapat membantu meningkatkan prestasi murid-murid. dan sekolah. Akhir sekali, saya dapat meningkatkan prestasi dan kemahiran saya dalam bidang pendidikan terutama bidang Sains.
Ilmu yang dipelajari sepanjang 4 semester sebelum akan saya cuba mempraktikkan bagi membantu murid-murid di sekolah tersebut. Dalam masa yang sama, saya boleh merasai sendiri pengalaman melaksanakan sesi bersama murid-murid. Dalam masa yang sama, saya boleh mengaplikasikan teori-teori pengajaran yang telah saya pelajari sebelum ini.
Akhir kata, diharapkan seluruh warga SK Taman Aman dapat menerima kehadiran saya di sekolah dengan menimba banyak perkara berguna di situ sebagai persediaan untuk bergelar guru.