Thursday 21 April 2011

Jurnal Minggu 1 Praktikum Fasa 1 2011

JURNAL MINGGU 1
Masalah
Saya menjalani praktikum fasa 1 di Sekolah Kebangsaan Taman Aman, Alor Setar, Kedah untuk tempoh 4 minggu. Untuk praktikum fasa ini saya hanya akan mengajar subjek major iaitu Sains. Pada minggu pertama ini, saya hanya perlu memerhati guru matapelajaran Sains melakukan sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru yang saya melakukan pemerhatian ialah Pn. Rohana Bt Abd Rahman dan En. Muhammad Shuhaimi Bin Majid. Dalam pengajaran dan pembelajaran yang saya perhatikan dalam kelas Tahun 5 Elit, saya dapati murid-murid dalam kelas ini sering menjawab soalan yang diajukan oleh guru tanpa mengangkat tangan. Murid-murid yang melebihi 30 orang itu tidak mengangkat tangan untuk menjawab soalan sebaliknya terus menjawab terutama murid-murid lelaki. Keadaan ini menggangu proses pengajaran dan pembelajaran.
Analisis Masalah
Kelas 5 Elit merupakan kelas yang pertama dalam keseluruhan tahun 5 di Sekolah Kebangsaan Taman Aman. Kelas ini mengandungi murid-murid yang mempunyai pencapaian yang cemerlang pencapaian akademik. Dalam maksud kata lain, kelas murid-murid pandai. Walaubagaimanapun, murid-murid dalam kelas ini sering tidak mengangkat tangan apabila hendak menjawab soalan yang diajukan oleh guru. Keadaan ini telah menyebabkan keadaan dalam kelas menjadi bising dan seterusnya mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran kelas ini dan kelas-kelas sekitarnya. Bukan seorang dua yang melakukan perkara tersebut, sebaliknya hamper keseluruhan murid dalam kelas tersebut menjawab tanpa mengangkat tangan terlebih dahulu. Daripada aspek guru, mungkin kerana guru yang mengajar tidak garang atau tegas terhadap murid-murid menyebabkan murid tidak merasa takut kepada guru.selain itu, mungkin guru tidak memberitahu atau membiasakan murid-murid untuk mengangkat tangan dahulu sebelum menjawab. Daripada aspek murid pula, mungkin murid-murid merasakan bahawa mereka tidak perlu untuk mengangkat apabila ingin menjawab soalan. Selain itu, murid-murid mungkin merasa teruja untuk menjawab soalan yang diberikan menyebabkan mereka berebut-rebut sehingga murid-murid tidak mengangkat tangan. Disamping itu, murid-murid ini berada di dalam kelas pandai. Jadi, mereka mempunyai banyak idea dan jawapan untuk diberikan tetapi tidak diberi peluang untuk mereka menyatakan idea.
Cadangan
Dalam mengatasi masalah murid-murid menjawab tanpa mengangkat tangan ini, saya akan memberi arahan ataupun menetapkan peraturan dengan murid-murid iaitu apabila ingin menjawab soalan hendaklah mengangkat tangan dahulu. Apabila guru memberi kebenaran barulah murid memberi jawapan. Sekiranya murid-murid tidak mengikut peraturan yang ditetapkan akan dikenakan dendaan. Selain itu, sekiranya murid menjawab tanpa mengangkat tangan dahulu, jawapan yang diberikan tidak akan diterima. Disamping itu, guru menggunakan kertas latihan berbanding soalan lisan. Selain itu, semua murid diberi peluang bagi menjawab soalan. Oleh itu, murid-murid tidak akan berebut menjawab soalan kerana setiap  murid mempunyai peluang masing-masing. Disamping itu juga, bagi memotivasikan murid-murid agar berkelakuan seperti yang dikehendaki guru, setiap murid yang menjawab soalan dengan mengangkat tangan dahulu akan mendapat ganjaran sejurus selepas itu.
Tempoh Penyelesaian
27 Mac 2011 – 31 Mac 2011
Tindakan Susulan
Guru membuat peraturan yang sesuai dengan situasi murid-murid. Selain itu, guru menyediakan kertas latihan dan menyediakan ganjaran untuk murid-murid yang kelakuan seperti yang dikehendaki oleh guru.
Catatan
Murid-murid akan berusaha untuk mengikut peraturan yang ditetapkan iaitu mengangkat tangan dahulu untuk menjawab soalan bagi mendapatkan ganjaran yang disediakan dan mengelakkan daripada dikenakan dendaan. Secara individu, murid-murid mempunyai motivasi untuk bersikap positif kerana murid-murid akan mendapat ganjaran. Pasti akan timbul keinginan dalam diri murid-murid lain untuk mendapatkan ganjaran tersebut apabila sudah ada rakan-rakan mereka yang memperolehnya. Keadaan ini bertepatan dengan Teori Pelaziman Operan Skinner di mana peneguhan positif (pemberian ganjaran harian) adalah rangsangan untuk menambahkan kebarangkalian pengulangan tingkah laku positif yang diinginkan guru. Peneguhan negatif (dendaan) juga diaplikasikan bagi memberi kesan yang tidak menyeronokkan dalam diri murid-murid dan dengan harapan mereka akan mengulangi tingkah laku yang diingini guru.

No comments:

Post a Comment